Monday 31 October 2011

Pentingnya Pengetua Berubah

Tajuk di atas iaitu pentingnya pengetua berubah adalah rentetan saranan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Dato' Abdul Ghafar Bin Mahmud dalam menyeru sebilangan pengetua mengubah persepsi, pendekatan dan tindakan pengurusan mereka di sekolah dalam menghindari SKT (Sindrom Kompetensi Terbiar).

Ini adalah kerana, Dato' KPPM kita mahukan lonjakan berganda berlaku dengan pantas di sekolah-sekolah seperti yang tercatat dalam hasrat beliau melalui kertas kerjanya bertajuk Haluan Kerja Pendidikan. Sindrom ini majoritinya berpunca daripada pihak pengetua yang tidak memberi peluang dan ruang yang seluas-luasnya untuk warga guru di bawah seliaannya melakukan reformasi dalam banyak hal tugas dan tanggungjawab seharian di sekolah. Sedangkan warga guru majoritinya telah pun mempunyai banyak pengalaman, kemahiran dan kelulusan akademik yang tinggi. Malah jika kita perhatikan, ramai dalam kalangan guru telah pun menamatkan pengajian mereka di peringkat ijazah sarjana (master degree) serta doktor falsafah (philosophy degree, Ph.D.).

Inilah aset terpenting yang amat perlu setiap pengetua manfaatkan dan terjemahkan kepada sekolah demi untuk pembangunan dan keberhasilan sistem pendidikan sekolah dan negara. Sekaligus ini boleh mencegah daripada berlakunya isu "pengetua mandom". Pihak KPPM sememangnya berharap sindrom kompetensi terbiar ini dapat di atasi dan dihindari. Oleh itu, peranan terbesar kejayan di sekolah banyak terletak di pundak pengetua sekolah.

No comments:

Post a Comment