Saturday 29 October 2011

Relevankah Lagi Guru Mendapat Waktu Ganti (Relief)

Dalam era Transformasi Pendidikan masa kini, isu relevankah guru diberikan waktu ganti atau relief terus dilaksanakan?

Inilah di antara isu besar yang bermain di benak setiap warga guru khususnya bagi sekolah menengah harian biasa. Bebanan masa guru mengajar yang mencecah 6 waktu sehari, ditambah pula waktu ganti yang biasanya diberikan 1 atau 2 waktu dalam sehari, perlu diubah dan dikaji semula.

Dalam usaha kerajaan untuk memartabatkan profesyen guru sebagai satu profesyen yang profesional, masa guru selain daripada waktu mengajar perlu dimanfaatkan untuk agenda sekolah yang lebih besar lagi. Contohnya, dalam masa tersebut guru boleh memanfaatkannya dengan menelusuri strategi dan teknik pengajaran secara kreatif dan inovatif. Hal ini boleh dilangsungkan melalui sesi perbincangan bersama guru cemerlang, guru-guru, diskusi dalam panatia, atau pun melakukan rujukan internet. 

Dalam banyak hal di sekolah kita telah pun meletakkan proses pembelajaran sebagai berpusatkan pelajar atau penerokaan kendiri ilmu di mana guru bertindak sebagai fasilitator. Justeru itu, isu para pelajar berada di dalam kelas tanpa kehadiran guru lain (iaitu guru ganti - bagi menggantikan guru subjek yang mengajar yang tidak hadir atau mempunyai urusan lain) perlu dibahas rasionalnya. Pada hemat saya, walau pun tanpa kehadiran guru ganti, ketua darjah atau pengawas sekolah serta para pelajar sendiri mampu menguruskan diri sendiri serta memanfaatkan masa senggang tersebut seperti menyiapkan kerja rumah yang telah diberikan, membuat perbincangan bersama rakan malah pelajar yang lebih bijak menjadi fasilitator kepada rakan pelajar yang lain.

Namun begitu, adalah wajar diwujudkan suatu jawatan kuasa khas untuk melihat, mengkaji dan menjurus kepada aspek ini. Proses sumbang saran dan timbang tara yang melibatkan kumpulan pakar pendidikan mampu merekayasa isu waktu ganti ini untuk kebaikan semua.

No comments:

Post a Comment