Monday 31 October 2011

Pentingnya Pengetua Berubah

Tajuk di atas iaitu pentingnya pengetua berubah adalah rentetan saranan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Dato' Abdul Ghafar Bin Mahmud dalam menyeru sebilangan pengetua mengubah persepsi, pendekatan dan tindakan pengurusan mereka di sekolah dalam menghindari SKT (Sindrom Kompetensi Terbiar).

Ini adalah kerana, Dato' KPPM kita mahukan lonjakan berganda berlaku dengan pantas di sekolah-sekolah seperti yang tercatat dalam hasrat beliau melalui kertas kerjanya bertajuk Haluan Kerja Pendidikan. Sindrom ini majoritinya berpunca daripada pihak pengetua yang tidak memberi peluang dan ruang yang seluas-luasnya untuk warga guru di bawah seliaannya melakukan reformasi dalam banyak hal tugas dan tanggungjawab seharian di sekolah. Sedangkan warga guru majoritinya telah pun mempunyai banyak pengalaman, kemahiran dan kelulusan akademik yang tinggi. Malah jika kita perhatikan, ramai dalam kalangan guru telah pun menamatkan pengajian mereka di peringkat ijazah sarjana (master degree) serta doktor falsafah (philosophy degree, Ph.D.).

Inilah aset terpenting yang amat perlu setiap pengetua manfaatkan dan terjemahkan kepada sekolah demi untuk pembangunan dan keberhasilan sistem pendidikan sekolah dan negara. Sekaligus ini boleh mencegah daripada berlakunya isu "pengetua mandom". Pihak KPPM sememangnya berharap sindrom kompetensi terbiar ini dapat di atasi dan dihindari. Oleh itu, peranan terbesar kejayan di sekolah banyak terletak di pundak pengetua sekolah.

Saturday 29 October 2011

Relevankah Lagi Guru Mendapat Waktu Ganti (Relief)

Dalam era Transformasi Pendidikan masa kini, isu relevankah guru diberikan waktu ganti atau relief terus dilaksanakan?

Inilah di antara isu besar yang bermain di benak setiap warga guru khususnya bagi sekolah menengah harian biasa. Bebanan masa guru mengajar yang mencecah 6 waktu sehari, ditambah pula waktu ganti yang biasanya diberikan 1 atau 2 waktu dalam sehari, perlu diubah dan dikaji semula.

Dalam usaha kerajaan untuk memartabatkan profesyen guru sebagai satu profesyen yang profesional, masa guru selain daripada waktu mengajar perlu dimanfaatkan untuk agenda sekolah yang lebih besar lagi. Contohnya, dalam masa tersebut guru boleh memanfaatkannya dengan menelusuri strategi dan teknik pengajaran secara kreatif dan inovatif. Hal ini boleh dilangsungkan melalui sesi perbincangan bersama guru cemerlang, guru-guru, diskusi dalam panatia, atau pun melakukan rujukan internet. 

Dalam banyak hal di sekolah kita telah pun meletakkan proses pembelajaran sebagai berpusatkan pelajar atau penerokaan kendiri ilmu di mana guru bertindak sebagai fasilitator. Justeru itu, isu para pelajar berada di dalam kelas tanpa kehadiran guru lain (iaitu guru ganti - bagi menggantikan guru subjek yang mengajar yang tidak hadir atau mempunyai urusan lain) perlu dibahas rasionalnya. Pada hemat saya, walau pun tanpa kehadiran guru ganti, ketua darjah atau pengawas sekolah serta para pelajar sendiri mampu menguruskan diri sendiri serta memanfaatkan masa senggang tersebut seperti menyiapkan kerja rumah yang telah diberikan, membuat perbincangan bersama rakan malah pelajar yang lebih bijak menjadi fasilitator kepada rakan pelajar yang lain.

Namun begitu, adalah wajar diwujudkan suatu jawatan kuasa khas untuk melihat, mengkaji dan menjurus kepada aspek ini. Proses sumbang saran dan timbang tara yang melibatkan kumpulan pakar pendidikan mampu merekayasa isu waktu ganti ini untuk kebaikan semua.

Friday 28 October 2011

Guru Wajib Meneruskan Pengajian Ke Peringkat PhD

Sebagai warga guru, saya sememangnya bersetuju bahawa semua guru wajib menyambung pengajian sehingga peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Peranan guru di sekolah amat sibuk. Namun sebagai pemangkin untuk diri sendiri dan para pelajar, usaha setiap guru untuk menyambungkan pengajian sehingga peringkat PhD mampu mengubah dimensi pendidikan negara. Jika proses pengantarabangsaan begitu ditekankan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT), proses pengantarabangsaan juga perlu dikembangkan sehingga peringkat sekolah.

Cabaran terbesar kepada sistem pendidikan negara adalah dalam mana, semua warga pendidiknya mampu mempunyai kelulusan yang tinggi, pengalaman yang mantap serta kepelbagaian kebolehan lain. Sekiranya ini boleh dijelmakan kepada realiti kelak, isu seperti wujudnya sekolah antarabangsa dapat diisi oleh sekolah-sekolah sedia ada.

Dalam berkongsi isu ini, saya sertakan beberapa pernyataan Richard Crawford iaitu seorang perunding pengurusan dan perancangan strategik. Di antara titipan beliau dalam bukunya yang bertajuk In The Era of Human Capital 21 berbunyi seperti berikut:- ‘Physical capital depreciates, and so does human capital…However, the major problem of human capital depreciation is not the process of physical aging: it is the rapid obsolescence of knowledge and technology.  As the development of new knowledge and new technology accelerates, it is harder for the experience knowledge worker to keep up in his or her field. The only way for knowledge workers to maintain their skills and knowledge and be effective human capital is to engage in lifelong learning, which will affect workers as individuals and as employers and employees.’

Hentikan "Bangau-ing"

Sepintas lalu, perkataan "bangau-ing" tersebut tidak dapat kita fahami maksudnya. Namun istilah ini saya acapkali gunakan kepada para pelajar yang selalu menyalahkan rakan atau individu lain di atas sebarang nasihat atau teguran yang telah saya berikan kepada mereka.

Inilah di antara wabak penyakit yang sedang di alami oleh para pelajar khususnya buat pelajar yang seringkali melakukan salah laku disiplin. Menyalahkan orang lain atau mengaitkan individu lain atas salah laku yang telah mereka lakukan tersebut adalah di antara salah satu mekanisme bela diri menurut pendekatan kaunseling. Namun, saya lebih suka menyebutnya sebagai "bangau-ing" iaitu rentetan cerita bangau yang kita fahami melalui episod bertajuk "Bangau Oh Bangau".

"Bangau Oh Bangau" ini merupakan suatu cerita rakyat yang amat popular bagi menggambarkan bagaimana bangau beserta rakan-rakannya yang lain saling salah menyalahkan di antara satu sama lain dalam usaha menyelesaikan masalah mengapa bangau tidak mahu makan.

Hal ini telah menjadi ikutan kepada para pelajar masa kini malah gejala "bangau-ing" ini tidak disedari oleh para pelajar merupakan suatu tingkahlaku yang amat buruk dan mencemar diri sendiri. Amalan "bangau-ing" dalam kalangan pelajar perlu dihentikan dengan segera.

Guru Sebagai "Baby-sitter"?

Benarkah tugas guru sekarang adalah lebih kepada sebagai "baby-sitter"?

Mungkin ramai dalam kalangan kita sebagai guru tidak menyedarinya. Namun begitu, hal ini amat ketara sekiranya guru berkenaan mengajar di sekolah-sekolah harian biasa.

Isu ini saya timbulkan memandangkan acapkali terdapatnya para ibu bapa bagi pelajar tertentu mendefinasikan sekolah sebagai tempat di mana anaknya akan berada lebih selamat di dalam sekolah berbanding sekiranya tinggal di rumah sepanjang waktu mereka (ibu bapa) bekerja. Hal ini bukanlah sesuatu yang salah, namun sekiranya kehadiran anak-anak mereka ke sekolah dengan tanpa minat untuk belajar, sering menimbulkan masalah disiplin atau hanya tidur di dalam kelas sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dijalankan, adakah semua ini wajar?

Peranan ibu bapa sebagai pendidik yang utama kepada setiap anaknya perlu dikembalikan. Guru masa kini hanyalah fasilitator kepada para pelajar, bukan "baby-sitter". Justeru. penggemblengan segala fikiran, usaha, dan mekanisme yang perlu diguna pakai bagi kedua-dua pihak perlulah selari dan jelas. Diharapkan para ibu bapa mampu membantu guru dalam mendidik anak bangsa yang berilmu dan berakhlak mulia. 

Guru Dihormati, Ilmu Diberkati

Pada 18 dan 19 Oktober 2011 lalu, saya telah berpeluang mengikuti Bengkel Kalkulator Grafik anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) di SMK Bukit Gambir, Pulau Pinang. Kehadiran hari pertama saya tersebut telah disambut oleh kata-kata berikut; "Guru Dihormati, Ilmu Diberkati". Perkataan ini amat terang dan amat jelas terpampang di pagar batu sekolah berkenaan. Ini bermakna setiap individu yang ingin memasuki ke dalam sekolah itu pastinya akan menatapi kata-kata keramat tersebut.

Kalimat "Guru Dihormati, Ilmu Diberkati" amat signifikan bagi mengetuk pintu hati setiap warga sekolah khususnya para pelajar untuk menitikberatkan hal tersebut seterusnya dijelmakan ke dalam kehidupan seharian sebagai seorang yang bergelar pelajar. Idea yang dipraktikkan oleh sekolah SMK Bukit Gambir ini wajib diteladani oleh sekolah-sekolah lain. Walaupun hanya sebaris perkataan biasa, namun impak tersurat dan tersiratnya amat bermakna untuk semua warga pelajar.