Tuesday 22 November 2011

Guru - Istimewa dan Berbeza

"Guru - Istimewa dan Berbeza". Inilah antara ringkasan ungkapan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran baru-baru ini ekoran isu 9 jam waktu bertugas guru yang dihebohkan untuk mula dilaksanakan di beberapa buah negeri.

Masyarakat harus memahami keunikan tugas guru berbanding tugas-tugas dalam jawatan lain. Pekerjaan guru terlalu istimewa dan amat berbeza daripada yang lain. Peranan guru bukan sahaja perlu menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran, malah melangkaui daripada itu. Guru perlu juga membentuk akhlak dan sahsiah serta keterampilan pelajar. Guru adalah juga motivator dan pemudahcara. Guru juga doktor bila ada pelajar yang cedera ringan, realitinya guru juga adalah segala-galanya.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui betapa rencamnya tugas seorang guru. Saya yang pernah bekerja dalam beberapa bidang sebelum ini, bila mana terjun di bidang keguruan saya dapat merasai cabaran menjadi guru adalah lebih getir. Justeru itu, mana-mana pihak usahlah mempertikaikan waktu bekerja guru. Hakikatnya tugas guru adalah "endless". Banyak yang kena dibawa dan disiapkan di rumah. Semasa cuti persekolahan pula terdapat tugas-tugas lain seperti guru bertugas, pengawas peperiksaan dan pemeriksa kertas peperiksaan.

Apa pun yang diharapkan, peranan guru akan terus dimartabatkan seperti di era zaman 50an dan 60an. Masyarakat menghormati guru dalam semua aspek kehidupan. Guru adalah institusi yang penting dalam membentuk kemenjadian murid. Kepada semua guru laungkanlah "Saya bangga menjadi seorang guru"

Monday 21 November 2011

Wajarkah Buku Sifir Atau Buku Log Dibekalkan Kepada Pelajar SPM?

Terkedu saya apabila diarahkan oleh Ketua Pengawas Peperiksaan untuk diedarkan kepada para pelajar yang sedang menduduki Kertas 1 dan 2 Matematik Peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Manakan tidak, dengan adanya kemudahan Kalkulator Saintifik fx570 telah pun mengisi dan menggantikan peranan Buku Sifir tersebut.

Kita harus melangkah ke depan, berikan sesuatu bahan atau untuk rujukan yang diperlukan sahaja. Kekadang hal ini kita mungkin terlepas pandang. Berubahlah. Kesiankan sebahagian pelajar yang tidak mengetahui hal ini, sibuk sepanjang peperiksaan meneliti dan menerokai buku tersebut. Saya di awal-awal lagi sewaktu mengedarkan Buku Sifir itu ditanya dengan bertali arus oleh para pelajar, apakah buku ini? Bagaimana nak guna buku ini?

Justeru, hal sebegini jika terlepas pandang perlulah kita membuat refleksi dan mengambil tindakan yang proaktif dan segera. Hanya dengan kecekapan dan keprihatinan kita bersama dapat memacukan agenda pendidikan negara.

Sunday 20 November 2011

Etika Pakaian - Guru Wajib Jaga

Usaha untuk memartabatkan pendidikan memerlukan suatu transformasi yang menyeluruh serta seragam. Di dalam era transformasi kerajaan kini, setiap antara kita kena bersatu dan selaras dalam semua pendapat yang boleh membawa kepada kebaikan bersama.

Hari ini saya ingin menarik perhatian pembaca berkitan etika berpakaian kepada semua guru. Aspek ini adalah berkaitan berpakaian semasa di sekolah atau berkursus. Sikap kebanyakan guru sekarang yang mengabaikan etika berpakain ini dilihat semakin menjadi-jadi. Guru harus menyedari bahawa tanggungjawab guru sebagai "role-model" adalah amat penting.

Dalam kalangan guru lelaki, isu berpakain tidaklah serius sangat walaupun memang ada. Kebanyakan kes yang saya lihat adalah aspek rambut yang mencacak ala ultraman, rambut berwarna, rambut agak panjang, berbaju kemeja sempit, baju lengan pendek tapi bertali leher, bertali pinggan "buckle" besar. bersandel, dan sebagainya lagi.

Dalam kalangan guru wanita, isu tidak memenuhi etika berpakaian agak serius. Ini perlukan usaha yang bersepadu di antara Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menegaskan hal ini. Di antara yang biasa berlaku dalam kalangan guru wanita adalah rambut berfesyen keterlaluan, rambut berwarna, bagi yang bertudung - berwarna-warni keterlaluan, berkelip-kelip dengan manik yang banyak dan berjurai-jurai. Baju dalam kalangan guru wanita bukan Islam biasanya tidak berkolar, berlengan pendek, ketat, "lowered" bahagian dada, berskirt atas lutut, berbelah di bahagian skirt dan sebagainya lagi.

Guru wajib sentiasa berhati-hati dalam berketrampilan dan berpakaian. Etika sebagai guru Malaysia tidak harus diabaikan. Sebahagian perkara di atas boleh mengundang gangguan dalam pembelajaran dan pengajaran (P&P). Pelajar tidak dapat memberikan fokus yang lebih kepada P&P sekiranya cara berpakaian guru agak keterlaluan. Bersamalah guru kita fikirkan hal ini. Ingatlah bahawa "Guru adalah penjana transformasi pendidikan negara"

Saturday 19 November 2011

Tukarkan Guru Yang Mengalami Sindrom Kompetensi Terbiar

Saya ingin menarik perhatian pembaca semua berkaitan guru-guru yang mengalami sindrom kompetensi terbiar di sesebuah sekolah. Hal ini perlu ditangani oleh pihak Kementerian Pelajaran dengan segera dalam usaha memartabatkan bidang pendidikan negara. Sindrom Kompetensi Terbiar berkait rapat dengan prestasi guru yang agak "mandom". Hal ini boleh wujud disebabkan banyak keadaan. Faktor telah berada lama di sesebuah sekolah diikuti dengan rasa senioriti dan rasa sudah selamat dalam kerjaya kekadang boleh mengundang rasa tidak perlu bertungkus lumus lagi. Cukuplah sekadar buat yang asas dan termampu. Tiada usaha lagi untuk melangkaui standard yang ditetapkan.

Guru-guru sedemikian jika terus dibiarkan di sesuatu sekolah boleh menjadi parasit atau virus kepada guru-guru lain serta sekolah pihak sekolah sendiri. Proses Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah bermula tahun 2012 bagi tingkatan satu dan sepenuhnya PBS pada tahun 2016 di sekolah menengah bakal menerima mehnahnya sekiranya guru sebegini terus berada di sekolah tersebut. Pertukaran ke sekolah lain adalah cadangan awal mengatasi isu ini. Ini disebabkan perubahan tempat mampu menjana guru "mandom" berkenaan menghirup udara baru dan melebarkan sayap kerjaya mereka. Sekaligus, memperbaiki prestasi sekolah di mata masyarakat.

Apa yang membimbangkan guru-guru dalam kategori tersebut biasanya telah berada di DG44 dan DG48 atau DG52. Justeru mungkin kedapatan pengetua yang merasakan agak berat untuk mencadangkan perpindahan mereka atas banyak alasan-alasan personel guru berkenaan. Namun, saya masih menggesa pihak berwajib memainkan peranan utama demi maruah pendidikan dan mencapai Hasrat Haluan Kerja Pendidikan yang telah diamanatkan kepada kita oleh Dato' Abdul Ghafar Bin Mahmud. Akhirul kalam, semoga kita berani berubah kepada kebaikan.

Tuesday 15 November 2011

Papan Putih versus Papan Hitam

Dalam zaman digital kini adakah masih kedapatan sekolah di sebuah bandaraya yang menggunakan papan hitam sebagai medium pengajaran dan pembelajaran? Mungkin ramai yang mengungkapkan hal ini hanyalah suatu fantasi..., namun tahukah anda bahawa ianya adalah sesuatu yang realiti. Dari sudut pandangan saya, seandainya hal ini berlaku di kawasan yang terlalu jauh di pedalaman maka ianya masih boleh diterima. Tetapi sekiranya hal sebegini berlaku di sebuah sekolah di kawasan bandaraya, adakah ini masih wajar?

Pada hemat saya, isu sebegini tidak wajar berlaku. Bayangkanlah saya yang baru sehari-dua menggunakan papan hitam tersebut terus dijangkiti batuk. Justeru, pihak tertentu perlu lebih proaktif dalam menangani hal ini. Janganlah kerana kekangan kewangan, kebajikan guru malah semua murid tergadai. Kesihatan semua pihak lebih aula didahulukan. Isu papan putih versus papan hitam tidak harus timbul lagi.

Pendidikan masa kini lebih menjurus kepada konteks kreativiti, inovasi dan nilai tinggi. Oleh yang demikian, prasarana asas perlulah juga tampak kreatif dan inovatif. Penggunaan layar putih bersama LCD seharusnya mendepani pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah masa kini. Sedikit pelaburan yang kita korbankan kepada pendidikan masa kini bakal menujahkan anjakan berganda kepada warga murid khususnya dan semua warga guru amnya.

Monday 14 November 2011

Hebatnya Budaya Hormat Guru Di SMJK Chung Hwa Concusian (CF) Pulau Pinang

Sekilas tajuk di atas sudah pasti ramai yang tertanya-tanya apakah isu yang ingin saya utarakan kali ini. Saya terpanggil untuk menulis isu ini apabila saya terlibat sebagai pengawas Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berjalan mulai semalam iaitu 14 November 2011 sehingga 14 Disember 2011 kelak.

Disebabkan ini pengalaman pertama saya mengawasi Peperiksaan Awam di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Confusian (CF), saya pun membuat beberapa andaian sendiri. Telahan saya mungkin budaya di sekolah SMJK tidaklah jaun bezanya dengan SMK harian yang lain. Namun alangkah terperanjatnya saya apabila sering disapa oleh para pelajarnya dengan ucapan "Selamat Pagi". Ini ditambah dengan setiap kali saya mengedarkan kertas soalan peperiksaan atau buku jawapan atau kertas jawapan objektif atau apa pun lah benda, yang pasti ramai yang mengucapkan "Thank You Sir".

Hati mana yang tak terdetik bila diperlakukan sedemikian rupa. Saya selama ini di sekolah SMK yang rata-ratanya ramai Melayu atau Muslim, begitu ketandusan senario tersebut. Kekadang beginilah kesan pemupukan budaya yang telah dicanai dan mencengkam di bumi SMJK Chung Hwa Confusian (CF). Sesekali saya bertanya kepada diri sendiri "Benarkah aku lihat dan nampak ini? Adakah aku sedang bermimpi?" Saya selaku orang Islam terfikir juga "Kadang kala orang yang BUKAN ISLAM itu lebih ISLAMnya daripada orang ISLAM sendiri".

Tuntasnya di sini, sesuatu budaya (dalam kes ini adalah budaya hormat) adalah proses pemupukan yang berterusan, di mana budaya itu telah sebati dalam setiap warganya dan telah mewarnai wilayahnya. Atas kelangsungan tersebut, wilayah yang lain turut merasai tempiasnya. Semoga kita semua dapat mengambil ikhtibar dari peristiwa yang baru saya kongsikan bersama ini. Tahniah buat semua warga SMJK Chung Hwa CONFUSIAN (CF) Pulau Pinang. SALAM HORMAT.

Tuesday 8 November 2011

Beri Banyak Ruang Dan Peluang Kepada Guru Disiplin

Hari ini saya terpanggil untuk membahaskan isu berkaitan guru disiplin. Peranan yang dimainkan oleh guru disiplin  di sekolah sebenarnya terlalu besar untuk sesebuah organisasi sekolah, namun peranan mereka sering diperkecilkan. Guru-guru lain yang tidak terlibat secara langsung bersama Unit Disiplin perlulah menyedari bahawa peranan dan tanggungjawab sebagai guru disiplin bukanlah mudah, malah penuh dengan onak, cabaran, serta memerlukan ketahanan emosi dan jiwa yang kental.

 Memandangkan masa yang begitu banyak mereka perlukan dalam menyelia tugasan mereka sebagai guru disiplin, adalah disarankan masa mengajar mereka dikurangkan (mungkin maksimanya 12 waktu seminggu). Mereka juga seharusnya tidak diberi tanggungjawab untuk memegang jawatan sebagai guru tingkatan pertama. Selain itu, tugas-tugas pentadbiran lain hendaklah dikecualikan buat mereka. Saranan saya ini adalah bertujuan untuk memastikan mereka iaitu guru disiplin berupaya menjana sepenuh tenaga, idea dan keringat mereka dalam mendidik disiplin semua pelajar di sekolah mereka.

Mungkin kita merasakan bahawa hal ini tidak begitu adil kepada guru lain, namun ingin diingatkan bahawa hal disiplin pelajar tidaklah semudah dan sesingkat masa seandainya kita ingin menguruskan hal-hal pengurusan dan pentadbiran. Banyak prosedur, pendekatan dan peraturan yang perlu mereka patuhi. Pengurusan dokumen disiplin juga perlu teratur, mudah diakses dan sistematik. Justeru, sokongan dan dokongan pengurusan sekolah mempertimbangkan masa mereka untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut perlulah tinggi. Sebagai contoh, untuk kes-kes pelajar yang mempunyai salah laku disiplin yang berat, maka masa yang diperlukan oleh guru displin agak lebih panjang. Baru-baru ini seorang rakan saya yang juga adalah seorang guru disiplin telah diugut oleh ibu bapa pelajar. Guru ini kemudiannya telah ke Balai Polis untuk membuat repot polis, memberi keterangan, membuat kawat cam dan beberapa prosedur polis lain. Beliau telah menghabiskan lebih 24 jam masa beliau berkaitan isu ini sahaja.

Oleh itu, saya ingin menyeru kepada semua pihak khususnya pihak pentadbiran sekolah agar melihat isu ini dalam perpektif kebajikan dan rasa kebersamaan kepada semua guru disiplin. Mereka adalah tonggak kepada disiplin di sekolah. Andai isu displin sekolah baik dan terkawal, barulah aspek pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta ko-kurikulum dapat berjalan dengan lancar, berkesan dan bermakna. Akhir kata, marilah kita menghargai tugasan dan tanggungjawab mereka yang mewakili kita berkaitan disiplin untuk kebaikan sekolah dan negara.

Sunday 6 November 2011

Pengorbanan Guru Tiada Galang Gantinya

Hari ini merupakan hari kedua untuk sambutan Hari Raya Aidil Adha di Malaysia. Hari Raya Aidil Adha ini sering dikaitkan dengan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s. bersama anaknya Nabi Allah Ismail a.s. Pengorbanan seorang ayah yang sanggup dan nekad untuk menyembelih anaknya kerana melaksanakan perintah daripada Allah S.W.T. Malah yang lebih menyayat hati semua insan adalah apabila anaknya sendiri dengan penuh keinsafan dan keredhaan kepada Allah merelakan malah meminta ayahnya agar melaksanakan tuntutan yang Esa itu tanpa sebarang keraguan lagi.

Pengorbanan sememangnya berlaku di mana-mana sahaja di dalam dunia ini. Ada pepatah yang mengatakan; "Perjuangan memerlukan orang yang berkorban, orang yang berkorban pastinya terkorban, terkorban adalah asam garam dalam perjuangan". Namun jika hal ini saya ingin kaitkan dengan pengorbanan guru, adakah kita semua rela untuk guru juga terkorban seperti perajurit yang berjuang di medan peperangan?

Namun, secara tersiratnya begitulah pengorbanan yang dilalui dan dirasai oleh para guru masa kini. Banyak dugaan yang datang menjenguk mereka. Aspek hinaan, kata cerca, maki hamun serta ugutan cedera malah bunuh daripada sebahagian para pelajar malah ibu bapa juga begitu acap bermain di bibir mereka. Tiada sekelumit pun rasa segan, silu dan malu kepada para guru yang selama ini bertungkus lumus mendidik dan membimbing anak-anak mereka.

Saya teringatkan kisah bagaimana kebanyakan penduduk di Kepulauan Solomon yang ingin menebangkan hutan rimba mereka untuk tujuan pertanian. Apa yang telah mereka lakukan? Mungkin anda akan terkejut dengan pernyataan saya ini. Mereka hanya pergi kepada setiap pokok yang ada di hutan itu lalu memaki hamun, mencerca dan berkata kesat kepada pokok-pokok tersebut. Hari demi hari mereka masuk ke hutan dan melakukan hal yang sama. Apa yang memeranjatkan kita adalah pokok-pokok hutan tersebut semuanya layu dan mati.

Beginikah yang ingin kita saksikan kepada generasi guru masa kini? Sebahagian para pelajar dan ibu bapa yang beginilah yang akan meruntuhkan institusi keguruan yang mana jika dibandingkan dalam era 50an, 60an dan 70an, guru adalah individu dan kerjaya yang amat dipuja dan disanjung oleh masyarakat negara kita. Sayugia diingatkan bahawa, tanpa guru hilanglah cahaya ilmu, dan bila hilangnya cahaya ilmu maka akan gelaplah hati masyarakat. Masyarakat yang gelap hati adalah masyarakat yang rosak dan akan membinasakan negara. Justeru itu, fikir-fikrkanlah hal ini.

Friday 4 November 2011

Guru Dicekik, Ditampar dan Dimaki oleh Bapa Pelajar

Senario guru dicekik, ditampar dan dimaki oleh bapa pelajar bukanlah sesuatu yang mengejutkan kita lagi. Inilah di antara isu yang berlaku tengah hari tadi di suatu sekolah di Pulau Pinang. Guru diumpama tiada nilai dan harga diri lagi pada pandangan sebahagian ibu bapa atau waris pelajar. Malah isu guru dimaki, diugut dan dicaci hina oleh para pelajar juga umpama tiada sempadannya lagi.

Hal ini memerlukan banyak pihak untuk serta merta masuk campur. Hal ini tidak boleh dipinggirkan lagi atau dianggap sebagai suatu isu terpencil. Hal ini perlu menjadi isu negara. Guru yang seharusnya dihormati dan diagungkan sebagai pendita ilmu telah dinafikan haknya. Akhirnya pelajar tidak hanya gagal dalam akademiknya malah tidak mempunyai nilai modal insan yang diaspirasikan oleh pihak kerajaan. Kemenjadian pelajar yang diidamkan hancur musnah.

Saya melihat isu ini suatu yang amat penting ekoran daripada kegagalan sekolah menghasilkan peribadi insaniah pelajarlah, maka masyarakat awam akan picang. Pelajar ini akan membina keluarga yang akhirnya menjadi bapa kepada anaknya. Adakah mereka tidak akan meniru perlakuan bapanya yang dahulunya pernah mencekik, menampar dan memaki guru? Bersamalah kita renung-renungkan hal ini.

Peranan pihak sekolah perlulah terus dinamik dan seiring dengan hasrat kerajaan. Pengetua dan pihak pengurusan perlulah berani berubah. Jangan takut untuk melaporkan kepada pihak di Jabatan dan Kementerian demi kebajikan guru dan semua warga sekolah. Adakah jika hendak mengejar status "Pengetua Cemerlang" hal disiplin begini terus disapu di bawah karpet? Hal guru adalah hal maruah keguruan yang tiada tolok gantinya. "Guru Adalah Pembela Negara".